About Me

Penganggur mengamuk di kedai serbaneka didakwa


KUALA TERENGGANU – Seorang penganggur yang mengamuk di sebuah kedai serbaneka di sini pada Khamis lalu dihadapkan atas tiga pertuduhan mencederakan dan melakukan kekerasan terhadap tiga individu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Umar Isa Hafizi Ahmad Faris, 25, sekadar mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd. Aziz.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mencederakan pekerja kedai serbaneka tersebut, Saufia Alias, 23, dan seorang pelanggan, Rashdan Rosman, 28, di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sultan Mahmud di sini pada pukul 2.10 petang, 27 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Umar Isa Hafizi didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang lagi pelanggan, Nurul Alia Amira Zulkifli, 23, di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau dengan denda maksimum RM1,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Nordiana memerintahkan Umar Isa Hafizi menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Tampoi, Johor selain menetapkan sebutan semula pada 29 Jun depan.

Kosmo! Online Sabtu lalu melaporkan suspek ditahan kerana tiba-tiba mengamuk dengan menyerang tiga individu termasuk dua pelanggan di sebuah kedai serbaneka di sini.

Dalam kejadian pada pukul 2.10 petang itu, tiga mangsa terbabit termasuk seorang wanita yang juga pekerja sambilan di kedai serbaneka itu tidak mengenali dan mengetahui motif serangan tertuduh berusia 25 tahun tersebut. 

– K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!