About Me

Anggota polis cedera tertembak diri ketika di serang penjenayah


KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis berpangkat koperal cedera tertembak diri sendiri selepas terbabit kemalangan ketika mengejar penjenayah dalam kejadian di Taman Len Seng, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, seorang lelaki bersama kekasihnya dikesan dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Cheras Sentral.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras kemudian menghampiri kereta terbabit untuk pemeriksaan.


"Lelaki berkenaan terkejut dengan kehadiran polis bertindak mengundur dan melanggar sebanyak tiga kali kereta polis sebelum melarikan diri.

"Suspek kemudian dikejar sehingga Taman Len Seng sebelum berlaku kemalangan antara kereta suspek dan polis," katanya kepada pemberita di pekarangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz di sini pada Rabu.

Tambahnya, impak pelanggaran mengakibatkan salah seorang anggota berusia 30 tahun cedera selepas tertembak lengan kanannya.

Menurut Mohamed Mokhsein, suspek lelaki kemudian melarikan diri dan terjun dari tebing setinggi kira-kira enam meter.

"Polis yang tiba di lokasi itu mendapati suspek warga tempatan berusia 30 tahun itu tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan," katanya.

Tambahnya, semakan mendapati suspek memiliki 25 rekod lampau termasuk tujuh membabitkan jenayah kekerasan seperti cubaan bunuh dan samun bersenjata, 10 kes pecah rumah dan lapan kes dadah.

"Susulan itu, polis menahan teman wanita suspek dan hasil soal siasat membawa tangkapan tiga lagi lelaki termasuk seorang warga Myanmar pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di sekitar kawasan terbabit," katanya.

Jelas Mohamed Mokhsein, pemeriksaan di dalam kereta suspek menemui pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

"Semakan juga mendapati, kereta diguna suspek ialah kenderaan yang dilapor hilang di Kajang. Polis percaya operasi ini dapat menyelesaikan 15 kes pecah rumah dan kedai di kawasan Cheras dan Kajang," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

- SinarHarian

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!