About Me

Ada penjawat awam masih kerja sambil lewa, tetapi tuntut kenaikan elaun


PUTRAJAYA: Semua penjawat awam perlu membuang ego dalam memberi perkhidmatan pantas dan cekap tanpa ada birokrasi dan sambil lewa hingga memberi kesukaran kepada orang awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, ramai rakyat terjejas terutamanya mereka yang bergaji hari termasuk yang dibuang kerja kerana wabak Covid-19, sedangkan penjawat awam langsung tidak terjejas dan cukup bulan, terima gaji.

Katanya, penjawat awam dilihat masih bekerja sambil lewa hingga mewujudkan rasa marah rakyat yang memerlukan perkhidmatan pantas tetapi dalam masa sama masih menuntut kenaikan elaun dan manfaat berbanding pekerja swasta yang tiada pilihan.

“Penjawat awam perlu buang sikap ego untuk bersama rakyat dan memberi perkhidmatan yang cekap serta pantas apatah lagi dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini masuk kali ketiga.

“Apabila pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) melibatkan 80 peratus, ada yang merungut dan mendesak mahu BDR tetapi itu hak ketua jabatan malah apabila berada di rumah, masih perlu bertugas. Jika ini pun penjawat awam masih tidak dapat faham, apatah lagi orang awam,” katanya dalam ucapan sempena Perhimpunan Bulan Jabatan Perkhidmatan Awam bulan Mei 2021 secara maya di sini hari ini.

Mohd. Khairul Adib berkata, semua penjawat awam perlu sedar bahawa rakyat dan pekerja swasta memainkan peranan penting dalam kelangsungan perkhidmatan awam melibatkan lebih satu juta yang masih berkhidmat dan 800,000 pesara.

Katanya, rakyat bergaji hari dan pekerja swasta akan terjejas jika PKP dilaksana lebih ketat hingga membolehkan pelbagai masalah yang boleh berlaku termasuk keupayaan kerajaan menanggung gaji, emolumen dan pencen.

“Apabila melibatkan aspek perkhidmatan, dunia sekarang mempunyai teknologi namun penjawat awam masih terperangkap dan kerap berkata mengenai prosedur sedangkan prosedur terbabit dibuat oleh kita sendiri.

“Kenapa kita masih ditakuk lama hingga berlakunya birokrasi yang memerlukan perkara remeh seperti dokumen. Proses kerja masih kaedah lama, cuba lihat tahun 70an, 80an, 90an, 20an dan tahun 2021, cara kerja masih sama dan mengharapkan dokumen atau kertas,” katanya.

Tambahnya, cuba lihat bagaimana pelaksanaan pengisytiharan cukai yang perlu dihantar melalui atas talian, tiada satu borang pun malah itu turut melibatkan permohonan kerja di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan apabila sesi temu duga, barulah dibawa dokumen-dokumen yang diperlukan.

“Kita perlu memikirkan kaedah terbaik dalam membantu rakyat kerana kita mewakili kerajaan dan rakyat tak panggil kita mengikut agensi atau jabatan tetapi mereka panggil kita, penjawat awam.

“Lagi satu, biarpun kita penjawat awam, kadangkala ada juga keperluan untuk berurusan dengan agensi lain. Apabila urusan itu tidak mencapai objektif yang kita mahukan, kita mesti tidak puas hati dan inilah yang dirasai rakyat,” katanya. 

– UTUSAN

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!